Bersempena dengan perkahwinan muridku Mohd Sabhi Wajdi Bin Mat Asri dengan pasangannya Nur Shuhada Binti A Halim juga buat semua anak-anak yang akan dan sedang melayari bahtera rumahtangga.
Kami titipkan disini sebuah nasihat sebagai seorang Guru kepada Muridnya agar bahtera rumah tangga dilayari dengan sempurna hingga sampai ke destinasinya.
Sekalipun badai, ombak, bongkah ais, ribut taufan dan batu karang berada di atas laluan samudera tetapi tatkala nakhoda seorang yang berkemahiran, maka bahtera dan penumpangnya tetap selamat bahkan dapat mengelakkan dari terumbang-ambing serta ke arah bahaya mahupun karam.
Antara nasihatku ialah:
1. Nawaitukan perkahwinan kerana ALLAH SWT jua.
2. Matlamat untuk mencari mardhatillah dan mendapatkan pasangan yang halal serta dikurniakan zuriat yang solehah merupakan cita-cita yang murni lagi luhur.
3. Jauhi dari perkara yang haram terutama sumber rezeki dan makanan agar keberkatan rumah tangga sentiasa diperolehi dan diraih.
4. Lazimi solat malam kerana nas hadis,disebut dengan kalimah ALLAH SWT merahmati suami atau isteri, ia adalah kunci penyelesaian masalah dalam kehidupan.
5. Lazimilah solat berjemaah kerana ia mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
6. Istiqamah menghadiri majlis ilmu agama kerana ia membentuk keperibadian serta menambahkan nikmat dalam kehidupan.
7. Jangan besarkan perkara yang kecil sebaliknya perkecilkan masalah yang besar. Agar masalah dapat diselesaikan dengan baik.
8. Elakkan wasangka dan buruk sangka terhadap pasangan kerana syaitan akan was-waskan kita dalam kehidupan.
9. Jauhilah daripada cita-cita untuk berpisah. Kerana itulah cita-cita syaitan seperti didalam nas.
10. Budayakan meminta maaf antara pasangan kerana ia akan mengendurkan ketegangan dan kemarahan.
11. Luangkan masa berkualiti bersama keluarga untuk berdiskusi dalam mencari penyelesaian.
12. Elakkan dari mengadu permasalahan kepada kedua ibu bapa dan mertua. Tetapi selesaikan dengan cara yang baik.
Ingatlah bahawa rumah tangga tidak ada yang sempurna. Kerana itulah manusia diciptakan dengan kekurangan, sebab pasanganlah akan membuatkan kita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Cukuplah sekadar itu nasihat dan wasiat daripadaku dan ingatlah:
➡Yang menyatukan hati kita adalah ALLAH SWT.
➡Yang menyelesaikan masalah kita adalah ALLAH SWT.
➡ Yang rezekikan kita adalah ALLAH SWT.
➡ Yang kurniakan zuriat adalah ALLAH SWT.
Justeru, ibadah, berdoa dan mintalah kepada-Nya kerana Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Semoga ALLAH SWT kurniakan pasangan ini kebahagiaan menerangi sinar hidup dan diberkati ALLAH SWT sehingga menemui-Nya.
Gurumu,
SS Tuan Guru Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Khamis
5.40 Petang
4 Februari 2016.
(Catatan oleh : Ust.Hashim Mohd. Noor PA Urusan)
Selamat Pengantin Baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan