Halaman

Isnin, 29 Oktober 2012

Wanita Islam Bekerja Di Luar Rumah: Tugas Asal, Syarat dan Realiti

Dilema Wanita

Belajar di peringkat menengah, kemudian ke universiti, setelah itu bekerja sepenuh masa dan kemudiannya ‘double shift”, perkahwinan dan melahirkan anak tidak termasuk keutamaan saya! Saya berkahwin ketika berusia 25 tahun dan dianugerahkan dua orang anak yang jarak usia antara keduanya tidak lebih dari sebelas bulan hingga saya terpaksa berhenti kerja. Keadaan saya yang meninggalkan alam pekerjaan itu menyebabkan pada masa ini saya berhadapan dengan banyak tekanan dari masyarakat, suatu perkara yang menjadikan saya ragu-ragu terhadap kebenaran keputusan yang telah saya buat. Semua ini mendorong saya untuk melakukan penyelidikan berkenaan topik: “Wanita bekerja di luar rumah”. Soalan ini selalu membelenggu saya; adakah apa yang saya usahakan dalam pekerjaan saya ini untuk merealisasikan kepuasan diri, kebahagiaan palsu atau hakiki?


Untuk menjawab persoalan ini saya mesti memahami sebab saya berusaha dalam pekerjaan saya sepanjang hidup saya. Lalu saya sampai kepada jawapan bahawa sebabnya adalah kembali kepada konsep-konsep yang saya ambil dari persekitaran hidup saya dan juga rakan-rakan sebaya saya. Konsep-konsep ini dapat disimpulkan pada wanita itu tugas asalnya adalah seorang pekerja, bukan ibu ataupun pengatur rumahtangga. Tugas dan gaji khususnya itulah yang akan merealisasikan kepuasan dirinya dan kebahagiaannya. Saya tidak mencela kedua ibu bapa saya kerana telah mendidik saya dengan konsep-konsep yang salah ini kerana ini merupakan natijah semulajadi yang terhasil kerana umat berhadapan dengan perang budaya kapitalis secara luarbiasa dengan pelbagai cara dari media, iklan, episod drama dan juga filem-filem, metodologi pendidikan dan program kebudayaan, pimpinan pemikiran dan politik yang disuburkan melalui tapak tangan Barat dan dipelihara dengan baik oleh mereka, barangkali juga dalam asuhan mereka.

Sementara kita umat Islam ini sesungguhnya menjadikan syariat sebagai tolok ukur perbuatan kita. Agar kita dapat mengeluarkan sesuatu hukum syarak, kita hendaklah mengetahui realiti supaya hukumnya dapat diterbitkan. Oleh itu kita bermula dari awal dengan mengetahui kewajipan asal bagi wanita kemudian baru beralih pada kewajipannya sebagai isteri, hukum syarak berkenaan tugasnya, syarat-syarat ia bekerja di luar rumah dan masalah sebenar berkaitan tugas ini.
Hukum asal wanita itu adalah menjadi ibu dan pengatur rumahtangga. Ia adalah kehormatan yang wajib dijaga:
Sesungguhnya perkataan pengatur rumahtangga tidak bermaksud bahawa wanita adalah pembantu rumah atau khadam bahkan ia bermaksud bahawa wanita adalah pengurus rumahtangganya dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya sepertimana yang disebutkan dalam hadith:

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap dari kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita adalah pemelihara dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap apa yang menjadi tanggungjawabnya. Seorang khadam adalah pemelihara harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya.”

Maka wanita adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab terhadap pemeliharaannya. Dia merupakan pemimpin dalam mendidik anak-anaknya, dalam mengajarkan mereka, membaguskan akhlak mereka, membina pemikiran mereka. Supaya wanita dapat melakukan peranan ini, dia hendaklah menyiapkan dirinya dengan menuntut ilmu dan pengetahuan syarak dengan kadar yang diperlukannya dan yang membolehkannya melaksanakan kewajipan ini. Lelaki pula, sama ada bapa, abang atau suami wajib menyediakan perkara-perkara tersebut untuknya. Sementara keadaan dirinya yang merupakan kehormatan yang wajib dijaga, Islam telah menjadikan kematian dalam rangka memelihara kehormatan ini sebagai syahid. Manakala fungsinya sebagai ibu adalah dirinya yang merupakan tiang dalam membina keperibadian adalah satu perkara yang bukan teori atau khayalan. Allah SWT ketika hendak memberikan contoh kepada orang-orang yang beriman, memilih untuk mencontohkannya dengan seorang wanita “Dan dijadikan contoh oleh Allah kepada orang-orang yang beriman, isteri Firaun” kemudian Dia berfirman: “Dan Maryam anak Imran”. Hal ini meskipun menunjukkan kepada sesuatu perkara, ia sesungguhnya menunjukkan keagungan peranan wanita dalam membina keperibadian-keperibadian. Demikian juga apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW: “Ambillah setengah agama kamu dari al-Humaira’ ini, iaitu ummul mu’minin Aisyah.”

Tidak ragu lagi bahawa hal ini menetapkan tanggungjawab atas wanita, iaitu hendaklah ia pertama-tama sekali melihat kepada dirinya dengan pandangan yang mendalam, yang benar hingga dia dapat melihat dan merasakan keagungan tempatnya dalam Islam dan memahami bahawa ia merupakan nadi kehidupan dalam keluarga dan masyarakat. Sesungguhnya dia berkhidmat kepada urusan rumah dan kebaikan keluarganya, dan dialah yang bertanggungjawab supaya Allah itu dingati dengan banyak di rumahnya. Allah disucikan dan dipuji pada pagi dan malam hari di rumahnya. Solat dilaksanakan, dan al-Qur’an pula dibaca di dalamnya. Sementara anak-anaknya pula dididik seperti ia mendidik dirinya untuk memikul dakwah, ketaatan, berkorban dan memberi di jalan Allah, sementara gangguan dari manusia atau pihak pemerintah tidak dapat memudaratkannya.

Sesungguhnya kewajipan isteri terhadap suaminya banyak sekali sepertimana jua tanggungjawab suami terhadapnya. Belum dikira lagi semua kewajipan syaraknya sebagai manusia; seperti solat, puasa, zakat, haji, berlaku benar, menunaikan amanah, menutup aurat, taat kepada suami, berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturrahmi, menuntut ilmu, muhasabah pemerintah, jihad defensif, melakukan amar ma’ruf nahy munkar, memikul dakwah, membai’at pemimpin umat Islam, melazimi berbuat taat dan banyak lagi. Ini adalah sebahagian kefardhuan yang berkaitan dengan wanita dan yang meliputi semua aspek kehidupan termasuk: ibadat, muamalat, uqubat, makanan, pakaian dan akhlak. Oleh itu, peranan wanita Islam tidak terhad di rumah sahaja meskipun keibuan dan tugasnya di rumah adalah tugas asalnya, tetapi menjangkau kepada semua aspek kehidupan Islam.

Kewajipannya sebagai isteri boleh diringkaskan seperti berikut:

1.    Mentaati suami dalam perkara kebaikan:
a.    Rasulullah SAW telah memerintahkan hal tersebut: “Jika seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, ia akan masuk syurga.”

b.    Allah SWT juga berfirman: “Seorang lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita dengan kelebihan yang telah diberikan oleh Allah kepada sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan terhadap harta yang dinafkahkan oleh mereka.” Juga, “Dan bagi lelaki itu satu darjat atas kaum wanita.” Kepimpinan suami atas isterinya adalah kepimpinan berupa pemeliharaan, bukan kepimpinan pemerintahan. Si isteri diwajibkan untuk taat. Suami wajib menafkahinya mengikut yang makruf dan memerintahkannya dengan perkara yang membawa kepada mentaati Allah Ta’ala dan si suami tidak sekali-kali memiliki kuasa ke atasnya jika dia memerintahkannya untuk berbuat maksiat kepada Allah. Na’uzubillah.

c.    Memelihara kemuliaannya serta perasaannya dengan menjaga matanya, telinganya dan perasaannya. Janganlah dia melihat pada isterinya, di rumah selain yang dapat menyukakannya dan tidak mendengar melainkan perkataan yang diredhai dan juga tidak menerima tetamu yang tidak disukai oleh suaminya.

d.    Menjaga agamanya dan kehormatannya. Hal itu dilakukan dengan menjauhkan diri dari bertabarruj dan menayang dirinya kepada lelaki asing di dalam dan luar rumah. Seorang wanita tidak akan menunjukkan perhiasannya melainkan kepada suaminya. Wanita solehah adalah yang sentiasa beribadat kepada Allah, memastikan agar suaminya menerapkan Islam pada dirinya, keluarganya dan hidup dengan dakwah dan tingkahlaku Islam.


2.    Melaksanakan pengurusan rumah tanggga menerusi:
a.    Berkhidmat kepada suami dan menunaikan permintaannya yang berupa perkara maknawi dan materi.

b.    Memerhatikan pandangan serta pendengaran suami agar sentiasa melihat rumah dalam keadaan bersih, teratur dan sebagainya

c.    Menjaga harta suaminya dan memeliharanya meski apa jua jenisnya. Ia tidak boleh membelanjakan harta suaminya tanpa izinnya.

d.    Berusaha untuk memperoleh keredhaannya dan memasukkan rasa gembira dalam hatinya. Jika dia pulang ke rumah, disambut dengan keadaan bersih dan berhias.

3.    Mendidik dan membesarkan anak-anak:
a.    Wanita hendaklah mendidik anak-anaknya dengan baik, iaitu sabar, lemah lembut dan belas kasihan. Janganlah dia memarahi anak-anaknya di hadapan suaminya. Jangan mendoakan keburukan terhadap mereka. Jangan mencela atau memukul mereka kerana sesungguhnya hal itu dapat menyakiti hatinya. Tambahan pula mendoakan keburukan terhadap anak-anak adalah satu perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda: “Janganlah kamu doakan keburukan terhadap diri kamu, dan janganlah kamu doakan keburukan terhadap anak-anak kamu, janganlah kamu doakan keburukan terhadap harta kamu, kerana (tatkala kamu berdoa) mungkin tepat pada waktu mustajab, lantas Allah kabulkan doa kamu ( membuatkan kamu menyesal).”  [HR Abu Dawud].

b.    Hendaklah mendidik anak-anaknya mengenai bersuci, menjaga kebersihan, memelihara diri, berani, tidak bercakap kosong agar mereka tumbuh sebagai umat Islam, hidup dengan Islam dan untuk Islam. Allah akan memperbanyakkan kebaikan bagi mereka dalam masyarakat dan Rasulullah SAW membangga-banggakan mereka dan yang seperti mereka di akhirat kelak.

Kita simpulkan dari semua ini, bahawa kewajipan wanita sebagai manusia, isteri dan ibu adalah banyak dan rumit. Apatah lagi jika ditambah semua itu dengan tugasnya di luar rumah untuk tempoh masa yang panjang hingga lapan atau sembilan jam baru pulang ke rumah. Ia menantikan siapa yang akan melayannya, bukan dia yang melayan suami dan anak-anaknya! Terhasillah dari situ masalah-masalah rumahtangga, perkelahian dan pertengkaran disebabkan tekanan melampau dan keletihan yang dideritai oleh wanita. Jika Allah telah menyamakan ganjaran wanita yang memelihara rumahtangganya dan ahli keluarganya dengan ganjaran mujahid maka ini sesungguhnya menunjukkan tahap kepentingan tugas ini serta menunjukkan bahawa ia adalah tugas asasi yang disediakan untuk wanita.

Diriwayatkan bahawa Asma’ bint Yazid ibn as-Sakan r.a datang menemui Nabi SAW dan bertanya: “Wahai rasulullah, sesungguhnya aku jurucakap kaum wanita Islam. Mereka semua berkata dan berpendapat sepertiku. Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah mengutusmu kepada kaum lelaki dan juga perempuan. Kami telah mempercayaimu dan mengikutimu. Dan bahawasanya kami ini, kaum wanita, terhad bilangan kami, sentiasa duduk di rumah. Dan bahawasanya kamu kaum lelaki , telah diberi kelebihan dengan solat Jumaat, dan menyaksikan jenazah. Apabila mereka keluar untuk berjihad, kamilah yang menjaga harta benda mereka dan memelihara anak-anak mereka. Tidakkah dapat kami berkongsi dengan mereka dalam pahala ini?” Sebaik sahaja jurucakap wanita ini habis dari pengaduannya, Rasulullah menoleh kepada para sahabatnya, seraya berkata kepada mereka: “Pernahkah kamu mendengar pembicaraan seorang wanita yang pandai mengemukakan masalah dalam agamanya daripada wanita ini?” Para sahabat menjawab serentak: “Kami tidak sangka ada seorang wanita yang dapat mengemukakan permasalahan seperti ini, wahai Rasulullah!” Rasulullah lalu menoleh kepada wanita itu seraya berkata: “Beredarlah wahai Asma’! Dan beritahulah kepada kaum wanita yang lain, bahawasanya penjagaan seorang wanita kepada suaminya, dengan mencari keredhaannya, dan membuat segala yang disukainya itu adalah menyamai semua itu.” Lalu beredarlah Asma’ sambil bertahlil dan bertakbir memberitahu khabar gembira mengenai pernyataan Rasulullah SAW kepadanya itu.”


petikan: garapan al-ahibbatu, http://halaqah.net/v10/index.php?topic=15611.msg278488;topicseen#new  inniakhofullah@butterwrdfly

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...